Khutbah Jumaat ~ Jihad Mempertahankan Kesucian Islam
Jihad Mempertahankan Kesucian Islam
Melihat zaman jahiliyyah dahulu, manusia hidup tanpa pedoman dan petunjuk.
Allah SWT berfirman di dalam surah al-Anbiya’ ayat 107 : Bermaksud : “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia membawa kebahagiaan yang besar. Baginda menyelamatkan manusia dari kesengsaraan yang besar. Baginda menjadi sebab tercapainya berbagai kebaikan di dunia dan akhirat. Baginda memberi pencerahan kepada manusia yang sebelumnya berada dalam kejahilan. Baginda membawa hidayah kepada manusia yang sebelumnya berada dalam kesesatan yang nyata.
Suatu ketika dahulu umat Islam pernah menguasai dua pertiga dunia yang memimpin dengan iman, berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Mereka memerintah dengan penuh keadilan dan telah menunaikan segala amanah yang dipikulkan di atas bahu mereka. Mereka juga telah menjadi pembawa obor hidayah dan petunjuk ke jalan kebenaran.
Tamadun Islam pernah sampai ke kemuncak ketinggian yang menghimpunkan antara ilmu dan iman, menyambungkan antara langit dan bumi, menghubungkan antara dunia dan akhirat, mempertemukan antara akal dan hati serta menyeimbangkan antara hak individu dengan kepentingan masyarakat.
Kita juga sebenarnya menghadapi serangan musuh-musuh Islam. Antara bentuk serangan yang ditujukan mereka kepada kita ialah :
Pertama : Ghazwatul iman iaitu serangan terhadap iman.
Renungkanlah firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 109: Bermaksud : “Ramai di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w).”
Kedua : Ghazwatul fikri iaitu serangan terhadap pemikiran.
Ketiga : Ghazwatul amal iaitu serangan terhadap ibadah.
Renungkan pesanan Nabi SAW menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA Bermaksud : “Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasingkan itu.”
Kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk berjihad mempertahankan kesucian Islam di negara ini. Mulakanlah dengan diri sendiri dan ahli keluarga masing-masing. Persiapkan senjata ilmu agama yang mantap serta sematkan dalam jiwa dengan iman dan takwa.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud : “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.”
Kesimpulan daripada khutbah hari ini:
Pertama : Berwaspadalah dengan serangan-serangan musuh-musuh Islam yang saban hari berusaha merosakkan Islam.
Kedua : Persiapkan bekalan senjata ilmu, iman dan amal soleh dalam mendepani serangan-serangan terhadap iman, pemikiran dan ibadah oleh pihak musuh.
Ketiga : Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar supaya kita sentiasa terpelihara daripada tipu daya musuh-musuh Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah Al Ankabut ayat 69: Maksudnya: ”Dan orang-orang Yang berjihad kerana memenuhi kehendak agama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya.”
Wallahualam.
http://mt961013.livejournal.com/
No comments:
Post a Comment